Friday, November 11, 2011

dengan bahasa....

dengan bahasa kita bermula...
dengan bahasa kita bersua rasa...
dengan bahasa kita berbicara mesra...
dengan bahasa jua kita kembali kepadaNYA...

Sunday, October 16, 2011

PUISI TRADISIONAL

Syair Siti Sianah

Maksud
Rangkap 1
Segelintir wanita berlebih-lebihan ketika berdandan seperti mencukur bulu roma di muka dan membentuk kening. Mereka juga berhias dan memakai pakaian yang selengkapnya.

Rangkap 2
Terdapat segelintir  wanita yang ketawa mengilai-ngilai. Malahan, di hadapan lelaki dia akan menunjuk-nunjukkan mukanya supaya lelaki tersebut terpikat akan kecantikannya.

Rangkap 3
Ada sesetengah wanita yang suka bersolek dan berhias. Mereka juga sanggup membuang masa di hadapan cermin bagi melihat wajah mereka.

Rangkap 4
Terdapat segelintir wanita yang tidak begitu cantik dan jelita. Malahan, hidungnya kembang dan tidak mancung seperti besar mulut buaya. Namun, mereka tetap berhias.

Rangkap 5
Ada sesetengah wanita yang berperangai buruk. Mereka membuat sanggul siput untuk menutup kekurangan rambut, malahan ada yang sanggup memakai rambut palsu.

Rangkap 6
Ada juga yang melumuri bedak di kaki, tangan, lengan dan jari sehinnga putih semata-mata untuk mengaburi mata orang yang melihatnya akan kekurangan diri mereka.

Rangkap 7
Terdapat segelintir wanita yang suka dipuji. Mereka memakai gelang sehingga ke pangkal lengan dengan tujuan untuk menarik perhatian. Mereka juga suka berpeleseran dengan lelaki.

Rangkap 8
Ada juga wanita yang  mendedahkan kaki dan tangan dengan alasan untuk berubat. Sebenarnya, niat  mereka untuk membuatkan  lelaki terpikat kepadanya. Namun, tindakan mereka diketahui  Allah.

Rangkap 9
Kita hendaklah memohon perlindungan daripada Allah agar kita akan terselamat daripada segala kemungkaran, malahan dijauhi daripada berperangai seperti perempuan yang tidak berakhlak.

Rangkap 10
Sesetengah wanita suka berjudi sehingga tergadai barang kemas akibat perangai buruknya selama ini.

Rangkap 11
Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan akan mengakibatkan berlakunya perlakuan yangtidak senonoh. Mereka juga mengabaikan solat kerana hasutan syaitan.

Tema
Nasihat kepada golongan wanita bagi memelihara maruah diri.

Persoalan
1. Persoalan sikap wanita yang suka berhias hingga melanggar hukum syarak.
2. Persoalan ketaaatan kepada  Allah. 
3. Persoalan kesan buruk perjudian. 
4. Persoalan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Bentuk
1. Terdiri daripada sebelas rangkap.
2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 2 hingga 6 patah kata.
 mudah-mudahan dilepaskanlah (2 perkataan)
 kaki dan tangan lengan dan jari (6 perkataan)
4. Terdiri daripada 9 hingga 14 suku kata.
 Ianya elok tiada tandingnya  (9 suku kata)
 Sesetengah perempuan terlalu janggalnya (11 suku kata)
5. Rima akhir syair ini ialah aaaa
6. Syair ini adalah puisi terikat.

Gaya Bahasa
1. Asonansi - Pengulangan huruf vokal - Sesetengah perempuan perangainya cela pengulangan vokal e  
2. Aliterasi -  Melihat laki-laki ditampakkan muka pengulangan konsonan k
3. Kata ganda  -  dibelek-belek, berjela-jela
4. Simile  - Seperti taji berandam di keningnya , Seperti buaya besar mulutnya
5. Bahasa  klasik - molek, cemara, intan serudi dan sempolah
6. Peribahasa -  makan angkat

Nilai
1. Nilai kesopanan
Seseorang wanita yang berada di khalayak ramai perlu bersopan santun seperti jangan ketawa mengilai-ngilai. 

2. Nilai kesederhanaan
Seseorang wanita perlu bersederhana dalam penampilan diri.

3. Nilai ketaatan kepada agama.
Setiap tindakan yang ingin dilakukan oleh seseorang harus berlandaskan agama.

4. Nilai kesyukuran.
Bersyukurlah dengan kurniaan Tuhan dan menerima kekurangan diri.

Pengajaran
1. Seseorang wanita  haruslah menjaga adab dan perilaku agar dihormati oleh orang lain..
2. Seseorang wanita perlu bersederhana dalam  penampilan diri, namun tidaklah secara berlebih-lebihan agar tidak menimbulkan fitnah.
3. Kita tidak harus terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian agar tidak berlakunya pembaziran. 
4. Seseorang wanita haruslah menjaga batas pergaulan dengan golongan lelaki agar terpelihara daripada maksiat.

PUISI TRADISIONAL

Syair Definisi Orang Berakal

Maksud
Rangkap 1
Manusia yang berakal dipandang mulia,malahan golongan anbia dan aulia amat mementingkan ilmu. Seseorang yang mencontohi golongan anbia dan aulia akan memperoleh kebahagian.

Rangkap 2
Golongan anbia dan aulia yang berilmu pengetahuan menyebabkan mereka dipilih sebagai ketua dan menegakkan keadilan. Sesiapa yang mentafsirkan golongan tersebut kejam maka dia bakal mendapat balasan.

Rangkap 3
Orang yang berakal mempunyai pandangan yang jauh. Dia akan bersahabat dengan orang
yang baik sahaja, sebaliknya mengenepikan orang yang jahat kerana takut terpengaruh dengan
sikap negatif mereka.

Rangkap 4
Orang yang berakal juga patuh kepada perintah Allah dan mengikut hukum syarak. Selain berserah kepada Allah, mereka juga tidak tamak haloba kerana menyedari bahawa dunia ini tidak kekal.

Rangkap 5
Orang yang berakal disayangi oleh golongan atasan, namun mereka tidak mengada-ngada, tidak sombong dan menganggap status mereka sama sahaja dengan rakan taulan.

Rangkap 6
Jika pihak atasan memberikan perhatian yang lebih kepadanya, mereka sentiasa berwaspada. Malahan mereka berusaha merapatkan hubungan dengan rakan-rakan, merendah diri dan sedia berkhidmat.

Rangkap 7
Orang yang berakal tidak bosan dalam mengejar ilmu pengetahuan dan sentiasa membuat penelitian untuk mencari jawapan agar tidak terpedaya.

Tema
Ciri-ciri orang yang berakal.

Persoalan
1. Persoalan ketinggian status orang yang berilmu (rangkap 1)
2. Persoalan kebijaksanaan orang yang berakal menyelesaikan masalah (rangkap 2)
3. Persoalan keinsafan seseorang akan kuasa Tuhan (rangkap 4)
4. Persoalan kepatuhan kepada hukum syarak (rangkap 4)
5. Persoalan keikhlasan dalam persahabatan (rangkap 6)

Bentuk
1. Terdiri daripada tujuh rangkap.
2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 3 hingga 5.
 Tiadalah ia melanja-lanja (3 perkataan)
 Sangatlah mengasihi tuan dan sahabat (5 perkataan)
4. Terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata.
 Jika ia dikasihi raja  (9 suku kata)
 Sangatlah mengasihi orang yang jahat (11 suku kata)
5. Rima akhir syair ini ialah aaaa
6. Syair ini adalah puisi terikat.

Gaya Bahasa
1. Asonansi - Menjadi kepala bela bermacam  - pengulangan vokal  e
2. Aliterasi  - Menjauhkan tamak hendak tawakal  - pengulangan konsonan k 
3. Sinkope – Ibanya tahu dunia tak kekal
4. Anafora -        Tiadalah ia melanja-lanja
                                Tiadalah menyombong pada bekerja
5. Penggunaan kata  klasik - tersunjam, ibanya, melanja-lanja, tersemu

Nilai
1. Nilai kebijaksanaan.
Orang yang bijaksana akan dilantik sebagai pemimpin dan dipandang mulia.

2. Nilai kasih sayang
Seseorang yang berakal sangat mengasihi ketua dan rakan-rakannya.

3. Nilai ketaatan.
Seseorang yang berakal akan taat kepada hukum syarak.

4. Nilai kerajinan.
Orang yang berakal sentiasa menelaah untuk mendalami ilmu pengetahuan tanpa rasa jemu.

Pengajaran
1. Kita haruslah  mencontohi ciri-ciri orang yang berakal seperti para anbia dan aulia agar kehidupan akan lebih bahagia.

2. Kita mestilah menyayangi sahabat yang baik dan menjauhi orang-orang yang bersikap negatif agar tidak terpengaruh.

3. Kita haruslah merendah diri walaupun berilmu dan disayangi ramai agar terhindar daripada sifat riak dan takbur.

4. Kita hendaklah patuh pada hukum syarak agar terhindar daripada kemungkaran.

PUISI TRADISIONAL

Pantun Empat Kerat (Budi)

Maksud
Rangkap 1
Seseorang yang berbudi, namanya pasti akan disebut-sebut.

Rangkap 2
Seseorang yang berbudi akan terus menjadi sebutan walaupun telah meninggal dunia.

Rangkap 3
Walaupun hanya sedikit budi yang ditaburkan akan tetap dikenang.

Rangkap 4
Perasaan kasih sayang yang wujud dalam diri seseorang akan menyebabkan hubungan
mereka berterusan ke akhir hayat.

Tema
Kelebihan mempunyai budi pekerti yang baik

Persoalan
1. Persoalan budi yang sentiasa dikenang walaupun telah meninggal dunia.
2. Persoalan ketinggian nilai budi.
3. Persoalan kasih sayang yang wujud sesama insan hasil daripada budi yang ditaburkan.

Bentuk
1. Terdiri daripada empat  rangkap.
2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris
3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara tiga hingga lima.
 Anak itik terenang-renang (tiga perkataan)
 Jika tak kenang kepada saya (lima perkataan)
4. Terdiri daripada 9 hingga 11 suku kata.
 Terang  bulan  terang  di  paya  (9 suku kata)
 Orang yang  mati meninggalkan nama  (11 suku kata)
5. Rima akhir pantun ini ialah abab
6. Bentuk pantun ini terikat dengan puisi tradisional.

Gaya Bahasa
1. Asonansi - Terang bulan terang di paya  - pengulangan vokal a
2. Aliterasi –   Orang yang mati meninggalkan nama. –pengulangan konsonan g
3. Kata ganda - Anak ikan terenang-renang
4. Sinkope – Jika tak kenang kepada saya
5. Repitasi -  Terang bulan terang di paya



Nilai
1. Nilai menghargai budi.
Budi yang ditabur oleh seseorang akan dikenang walaupun orang itu telah tiada.

2. Nilai keikhlasan.
Keikhlasan menghulurkan budi kepada insan lain.

Pengajaran
1. Kita haruslah  berbudi kepada orang lain agar disanjung oleh masyarakat.
2. Kita mestilah ikhlas menabur budi agar kehidupan lebih sejahtera.3. Kita hendaklah menghargai budi yang dicurahkan oleh orang  lain agar hubungan berkekalan.

Saturday, October 15, 2011

NOTA LENGKAP KAJIAN NOVEL TING 4 - AZFA HANANI

Azfa Hanani
(Halis Azhan Mohd Hanafiah)

SINOPSIS
Novel ini memaparkan pengorbanan seorang gadis remaja, bernama Azfa Hanani ( Nani ). Azfa Hanani merupakan murid tingkatan 5 Kenanga, Sekolah Menengah Seri Dian. Azfa Hananidiminta menyamar sebagai Tengku Murni  oleh Tengku Mazran dan isterinya Syafinaz.Hal ini demikian kerana Tengku Murni telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.Datin Maziah yang turut terlibat dalam kemalangan itu koma .Apabila Datin Maziah sedar daripada komanya dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak perempuan tunggalnya telah dijemput Illahi.
Azfa Hanani yang hidup dalam kemiskinan di rumah Pak Madi (Pak Long) telah mengambil
buku rujukan tanpa kebenaran pihak sekolah.Tujuannya adalah untuk mengulang kaji pelajarannya .Pada masa yang sama anak Pak Longnya Zuraini mengalami penyakit lumpuh. Azfa Hanani yang merasakan dirinya membebani keluaga Pak Long bertekad untuk menerima tawaran penyamaran sebagai Tengku Murni.Azfa Hanani menerima tawaran itu kerana Tengku Mazran berjanji untuk menanggung kos rawatan Zuraini. 
Azfa Hanani dibawa ke banglo Datuk Tengku Makmur untuk menemui Datin Maziah. Azfa Hanani telah diberi penjelasan dan tunjuk ajar oleh Tengku Mazran dan isterinya tentang tingkah laku Tengku  Murni .Penyamaran itu nampaknya berhasil kerana Datin Maziah tidak dapat mengesyaki apa-apa kekurangan yang ada dalam diri Azfa Hanani.Kemudian Azfa Hanani dihantar bersekolah di Sekolah Menengah Taman Sari. Di situ,dia mengenali rakanrakan Tengku Murni,seperti Tengku Ellina, Suzana,Adriani,Ekran dan lain-lain.Azfa Hanani turut mengenali beberapa orang pelajar yang tidak menyukai Tengku Murni iaitu Laili,Syafikah dan
Fuziana.Di banglo Datin Maziah dan di sekolah barunya pelbagai peristiwa gembira dan sedih dilalui.
Azfa Hanani telah membaca diari Tengku Murni.Melalui diari ini terbongkar rahsia cinta yang
terhalang antara Tengku Murni dan Ekran.Cinta mereka terhalang disebabkan abang Tengku Murni,Tengku Muzaffar  mementingkan status keluarga mereka sebagai golongan kaya dan bangsawan.Hal ini menyebabkan konflik berlaku antara Azfa Hanani dan Tengku Muzaffar.Pertengkaran mereka telah didengari oleh Datin Maziah,akibatnya  penyamaran Azfa Hanani terbongkar.Datin Maziah telah menghalau Azfa Hanani .
Azfa Hanani pulang ke rumah Pak Long Madi di Kampung Merpati.Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah datang ke Kampung Merpati untuk memohon maaf dan memujuk Azfa Hanani agar kembali ke banglo mereka.Tengku Datuk Makmur menceritakan kisah yang terjadi enam belas tahun yang lalu.Menurut beliau kematian ibu bapa Azfa Hanani disebabkan kecuaiannya semasa memandu dalam keadaan mabuk.Teksi yang dinaiki oleh ibu bapa Azfa Hanani telah terjunam ke dalam gaung dan Azfa Hanani tercampak keluar.Datin Maziah yang bersimpati dengan Azfa Hanani telah menyusuinya.
Datin Maziah dan Datuk Tengku Makmur ingin menebus kesalahan mereka.Mereka memujuk agar Azfa Hanani kembali tinggal bersama-sama mereka.Akhirnya Azfa  Hanani bersetuju untuk kembali tinggal di banglo itu dengan identiti sebenarnya.Dia juga mengetahui bahawa ibu bapa  Ekran sebenarnya merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Mereka bukannya miskin sebagaimana yang disangkakan oleh Tengku Muzaffar.

Sinopsis Bab Demi Bab

Takut
Ketika rakan-rakannya menumpukan perhatian terhadap pembelajaran Kimia, Azfa Hanani
diburu rasa takut sekiranya namanya dipanggil oleh pengetua kerana mencuri buku dari perpustakaan. Padanya, dia bukan bertujuan untuk mencuri sebaliknya hanya "meminjam" untuk mengulang kaji pelajaran kerana tidak mampu untuk membeli buku rujukan. Dia takut dibuang sekolah kerana perbuatan mencuri yang  dilakukannya. Semua hal ini terjadi disebabkan kemiskinan keluarga Pak Long Madi yang memeliharanya sejak kedua-dua ibu dan bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dia semakin takut apabila pengetua mahu menemuinya.

Siapa Mereka
           Di dalam bilik pengetua, terdapat tetamu yang begitu asing baginya, iaitu Tengku Mazran, Syafinaz dan Syarifah Rozan. Mereka memberitahunya dia seiras Tengku Murni, seorang remaja yang meninggal dunia dalam suatu kemalangan empat bulan lalu. Tengku Mazran dan Syafinaz memberitahu bahawa dia berkunjung ke rumah Syarifah Rozan semalam dan ternampak gambarnya dalam album. Gambarnya seiras wajah adiknya, Tengku Murni. Azfa Hanani ditawarkan menjadi anak angkat keluarga kaya dan menyamar sebagai Tengku Murni kerana wajah mereka seiras. Datin Maziah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak gadis tunggalnya telah meninggal dunia. Dia menuduh anak-anak lelakinya telah melarikan Tengku Murni. Oleh sebab itu, mereka bercadang untuk mengambil Azfa Hanani menggantikan Tengku Murni bagi menenangkan hati Datin Maziah. Azfa Hanani agak risau untuk menerima tawaran itu walaupun dijanjikan dengan pelbagai kemewahan. Namun begitu, dia memerlukan keizinan  oleh pak long dan mak longnya.

Kerana Terdesak
Tengku Mazran dan Syafinaz yang ditemani oleh Abang Norman dan Pak Haji Arshad tiba di
rumah pak long untuk berbincang dengan pak long dan mak long. Pak Haji Arshad menjadi orang tengah dalam perbincangan itu. Tengku Mazran menceritakan kemalangan yang menimpa adiknya, Tengku Murni. Menurut Tengku Mazran, apabila ibunya, Datin Maziah tersedar daripada koma, yang ditanyanya ialah Tengku Murni. Puas mereka berdalih dengan mengatakan Tengku Murni mengikuti program pertukaran pelajar  ke Jepun. Dia tidak mampu berterusan menipu dan tidak mahu ibunya menghadapi tekanan jiwa. Tengku Mazran meminta keizinan pak long dan mak long untuk membawa Azfa Hanani ke Kuala Lumpur. Sebagai balasan, sekiranya Azfa Hanani mahu menggantikan tempat "Tengku Murni", kos perubatan anak pak longnya, Zuraini yang hampir lumpuh akan ditanggung. Azfa Hanani berfikir, sekiranya dia masih kekal di Sekolah Menengah Sri Dian, dia akan dibuang sekolah kerana mencuri buku di perpustakaan. Selain itu, bila-bila masa sahaja pak longnya akan memberhentikan persekolahannya kerana kesempitan hidup. Setelah memikirkan masalah dirinya dan penyakit Zuraini mampu sembuh, akhirnya dia menerima tawaran Tengku Mazran.

Seawal Kehadiran
Di Hotel Universe, Tengku Mazran dan isterinya, Syafinaz mengajar cara-cara bertutur, makan dan bergaul dengan Datin Maziah. Apabila tiba di banglo yang dimaksudkan, dia dibawa ke bilik Tengku Murni . Tengku Mazran dan Syafinaz memujuk Azfa Hanani akan sikap kasar Tengku Muzaffar yang mengungkapkan kata-kata menyakitkan hatinya. Azfa Hanani kemudian berehat di dalam bilik itu. Ketika itu, dia teringat akan kata-kata Nordin sebelum dia bertolak ke sini, bahawa bukan dia yang dituduh mencuri buku, sebaliknya melibatkan beberapa orang pelajar lelaki. Apabila Datin Maziah  terjaga daripada tidur, Azfa Hanani dibawa bertemunya. Dia mengikut arahan seperti yang diajar oleh Tengku Mazran dan Syafinaz.

Sebagai Murid Baharu
Azfa Hanani dihantar belajar di Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah itu, dia berkenalan
dengan saudara dua pupu Tengku Murni, iaitu Tengku Ellina. Dia juga berkenalan dengan rakan-rakan Tengku Murni yang lain seperti Adriani, Ekran, selain 'musuh' Tengku Murni, iaitu Laili, Syafikah, dan Fauziana yang dipanggil,Kumpulan Budak Glamor. Tengku Ellina menyatakan kehairanannya kerana sehingga kini kad pengenalan, kad ATM dan dompet Tengku Murni belum ditemukan lagi.

Imbalan Budi
Sekembalinya Azfa Hanani dari sekolah, dia telah disambut oleh Datin Maziah. Dia makan
bersama-sama dengan Datin Maziah dan Kak Finaz. Dia kekok makan menggunakan sudu dan garpu. Azfa Hanani bertanyakan tentang dompet Tengku Murni yang hilang itu kepada Kak Finaz. Kak Finaz menyatakan bahawa mungkin dompet itu telah diambil orang. Azfa Hanani bimbang rahsianya terbongkar. Kak Finaz meyakinkannya bahawa mayat yang dikebumikan itu memang mayat Tengku Murni. Di dalam bilik, Azfa Hanani menemukan diari Tengku Murni .Dia membaca diari itu untuk mengetahui peribadi Tengku Murni. Tengku Datuk Makmur datang menemui Azfa Hanani di biliknya. Dia akan membayar RM500 sebulan kepada Azfa Hanani sebagai upah kerana menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani tidak menyangka budinya akan dibalas dengan wang ringgit. Namun dia terpaksa menerima wang itu demi membantu pak long di kampung.

Kerenah Laili
Azfa Hanani ke sekolah untuk menghadiri majlis perjumpaan pelajar tingkatan 5 bagi membincangkan projek Hari Sumbangsih. Program yang diatur meliputi pasar ria, kejohanan sukan terbuka, dan pameran. Pada tahun lalu program tersebut telah berjaya mengumpul wang sebanyak RM 16 ribu. Laili tidak berpuas hati dan mendakwa kononnya terdapat ketidakadilan dalam pengagihan slot. Dia tidak berpuas hati kerana tidak diberikan slot mengendalikan Malam Bakat Sumbangsih. Laili turut mempertikaikan kejujuran dan keikhlasan jawatankuasa yang terlibat. Dakwaan Laili dibantah oleh Ekran dengan menjelaskan bahawa agihan slot dibuat melalui undian. Setiap ketua tingkatan mengambil bahagian dalam undian tersebut dan
seharusnya soal ketidakadilan tidak sepatutnya ditimbulkan.

Tertanya-tanya
Azfa Hanani tertanya-tanya mengapa dia tidak dapat berbual panjang dengan Ekran. Lidahnya menjadi kelu ketika berhadapan dengan Ekran. Dia juga tertanya-tanya akan hal  Ekran menjual burger berhampiran dengan Plaza Cahaya sedangkan gayanya tidak membayangkan kesusahan hidupnya. Di perpustakaan, Fauziana dan Syafikah menawarkan Azfa Hanani sebagai pengacara Malam Bakat Sumbangsih kerana suaranya sesuai. Azfa Hanani tahu bahawa majlis itu diuruskan oleh pelajar Tingkatan 5 Sastera II, jadi dia berangganggap bahawa dia tidak perlu masuk campur. Azfa Hanani menolak dengan baik kerana menyedari niat mereka tidak ikhlas. Penolakannya itu membuatkan mereka begitu marah.

Ekran
Azfa Hanani mengikuti kelas bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca. Dia
pergi ke Institut untuk meminjam beberapa buah buku. Sebenarnya  itu cuma ralasan untuk keluar dari rumah. Hasrat hatinya adalah untuk menemui Ekran. Ketika berada di tempat tersebut, Iskandar mahu menghantarnya pulang dengan menaiki motorsikal. Azfa Hanani menolak kerana dia tidak mengenali lelaki itu. Azfa Hanani berpeluang bertemu Ekran yang menjual burger pada hari itu.Ekran menjelaskan minatnya untuk menjadi akauntan.

Meluah  Rasa
Azfa Hanani meluahkan perasaannya kepada Ekran dan menjelaskan bahawa dia bukan Tengku Murni. Dia hanya seorang budak kampung yang hidup dalam serba kekurangan. Dia bukan anak manja Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Azfa Hanani hanya menyamar sebagai Tengku Murni untuk memenuhi janjinya kepada Abang Mazran dan Kak Finaz. Dia juga menerima tawaran mereka kerana tidak mahu keciciran dalam pelajaran. Selain itu dia ingin membalas budi pak long dan mak longnya. Abang Mazran dan Kak Finaz telah berjanji untuk menanggung segala kos rawatan Zuraini yang lumpuh.

Bukan Dirancang
Azfa Hanani tidak merancang untuk ke rumah Tengku Ellina. Tengku Ellina mengajaknya ke rumah kerana pasukan Forum Remaja Sekolah Menengah Taman Sari akan mengadakan sesi perbincangan dan  latihan. Datin Maziah memberikan persetujuan agar Azfa Hanani ke rumah rakannya, Tengku Ellina. Azfa Hanani berasa bersalah kerana berbohong kepada Datin Maziah. Datin Maziah mengingatkan Azfa Hanani agar memberikan fokus terhadap SPM supaya memperoleh keputusan cemerlang seperti "abang-abangnya". Tengku Muzaffar menghantar Azfa Hanani dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi. Setibanya di rumah Tengku Ellina, rakan-rakannya telah sedia menunggu. Tengku Ellina meminta Azfa Hanani menggantikan
tempatnya sebentar sebagai Pengerusi Forum Remaja, sementara dia mengendalikan mesyuarat sekretariat pameran luar untuk Hari Sumbangsih. Setelah ahli-ahli pasukan Forum Remaja melihat kepetahan dan kelancaran Azfa Hanani sebagai pengerusi, mereka memutuskan bahawa Azfa Hanani akan kekal mempengerusikan Forum Remaja.

Melulu
Pertandingan Forum Remaja yang akan diadakan di dewan besar sekolah bakal berlangsung
sebentar lagi. Azfa Hanani membuat persiapan; memakai tali leher dan menghafal skrip. Azfa Hanani mendapat khabar gerai burger Ekran telah dibakar menyebabkan dia bergegas ke bilik persatuan untuk mendapatkan penjelasan daripada Ekran. Ekran tidak ditemui sebaliknya dia bertemu dengan Laili yang tidak berpuas hati akan sikapnya menarik diri sebagai pengacara Malam Bakat Sumbangsih. Kata-kata hina yang diucapkan Laili telah menggetarkan perasaan Azfa Hanani sebelum melangkah ke pertandingan Forum Remaja.

Hadiah Bererti
Pasukan yang disertai oleh Azfa Hanani dalam pertandingan Forum Remaja telah berjaya menjadi johan dan Azfa Hanani diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Ramai yang memuji suara Azfa Hanani amat lunak dan sesuai menjadi pengacara televisyen. Seterusnya, Datin Maziah telah mengadakan majlis ulang tahun yang ke-17 untuk Tengku Murni. Azfa Hanani, walaupun mengambil peranan sebagai Tengku Murni, tetapi berasa terharu kerana diraikan dalam majlis yang begitu meriah. Ekran datang lewat lalu menyerahkan hadiah melalui pintu pagar rumah. Azfa Hanani meluahkan perasaan rindunya terhadap pak long sekeluarga di
kampung kepada Abang Mazran. Abang Mazran berjanji akan membawa Azfa Hanani pulang bertemu dengan keluarganya di kampung. Abang Mazran juga meminjamkan telefon bimbitnya kepada Azfa Hanani agar dia dapat menghubungi kawan-kawannya di kampung.

Misteri Yang Tersimpan
Azfa Hanani memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Abang Mazran untuk
menghubungi rakan-rakannya di kampung. Azfa Hanani mengimbau perbualannya dengan rakan-rakan sekampungnya, Falina dan Aini. Kak Finaz memberitahu Azfa Hanani bahawa Abang Mazran bersetuju untuk memasang talian telefon di rumah pak long. Abang Mazran juga akan membelikan Azfa Hanani telefon bimbit yang baharu. Azfa Hanani membuka hadiah yang diberikan oleh Ekran. Azfa Hanani terkejut apabila mendapati hadiah itu berupa dompet milik arwah Tengku Murni dan di dalamnya terdapat sejumlah wang, beberapa keping kad, dan sehelai kertas catatan. Kunjungan MengejutAzfa Hanani menyuarakan hasratnya kepada Kak Finaz untuk menyambut kepulangan pak long dan Zuraini daripada menjalani rawatan di Indonesia. Kak Finaz berjanji untuk membawa Azfa Hanani pulang ke kampung semasa cuti semester pertama nanti. Sekembalinya daripada mengikuti kelas bahasa di Institut Lingua Franca, Azfa Hanani terkejut melihat pak long dan Zuraini berada di rumah Datin Maziah. Kerinduan Azfa Hanani terubat kerana dapat berbualbual dengan pak long dan Zuraini. Menurut Zuraini, Tengku Datuk Makmur seakan-akan sudah mengenali keluarga mereka sebelum ini.

Hari Sumbangsih
Hari ini berlangsungnya Hari Sumbangsih di Sekolah Menengah Taman Sari. Sambutan Hari
Sumbangsih pada tahun ini lebih meriah. Ekran yang menjadi pengerusi persatuan pelajar tingkatan lima sibuk mengendalikan program sempena Hari Sumbangsih. Ada khabar angin yang mengatakan bahawa Malam Bakat Sumbangsih akan dipulaukan oleh pelajar yang tidak berpuas hati. Azfa Hanani mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Ekran di bilik persatuan. Azfa Hanani mendesak Ekran untuk berterus-terang tentang punca dia menjauhkan diri daripadanya. Akhirnya Ekran membuat pengakuan yang mengejutkan. Ekran mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Tengku Murni. Namun hubungan itu terpaksa diputuskan atas sebab-sebab tertentu. Pada pertemuan terakhir sebelum kemalangan itu,dompet Tengku Murni tertinggal dan dia menyimpan dompet tersebut.

Terusir
Azfa Hanani masih lagi tertanya-tanya tentang hubungan antara Ekran dengan Tengku Murni.
Azfa Hanani membuat tekaan bahawa Datin Maziahlah punca hubungan Tengku Murni dengan Ekran terputus. Dengan menggunakan  teori fizik, Azfa Hanani berjaya membaca rahsia yang terkandung di dalam diari Tengku Murni. Azfa Hanani lantas bersemuka dengan Tengku Muzaffar untuk mendapatkan kepastian. Tengku Muzaffarlah rupa-rupanya yang menjadi dalang yang merosakkan hubungan yang terjalin antara Tengku Murni dengan Ekran. Tengku Muzaffar memberitahu bahawa dia menghalang hubungan antara Tengku Murni dengan Ekran kerana ingin menjaga nama baik keluarga disebabkan Ekran daripada keluarga miskin. Azfa Hanani berasa terhina kerana dirinya juga daripada keluarga miskin. Azfa Hanani tidak berpuas
hati kerana kini Tengku Muzaffar melarangnya berkawan dengan Ekran pula. Akhirnya berlakulah pertengkaran antara mereka dan didengari pula oleh Datin Maziah. Datin Maziah amat marah apabila mendapati Azfa Hanani selama ini menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani ditampar, kemudian dihalau keluar dari banglo itu.

Hakikat
Azfa Hanani mahu terus pulang ke kampung, tetapi Tengku Muzaffar menumpangkan Azfa Hanani di rumah Tengku Ellina. Akhirnya, Azfa Hanani dapat kembali tinggal di rumah pak longnya di Kampung Merpati. Namun, pak long dan mak longnya masih belum mengetahui bahawa Azfa Hanani sebenarnya telah diusir keluar dari rumah Datin Maziah. Sebelum ini, Abang Mazran dan Kak Finaz berjanji untuk memujuk Datin Maziah untuk menerima Azfa Hanani kembali. Namun, Azfa Hanani telah membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung. Azfa Hanani terkejut apabila keluarga Tengku Datuk Makmur datang mencarinya di
kampung. Akhirnya terbongkar rahsia apabila Tengku Datuk Makmur menceritakan bahawa dialah yang telah melanggar teksi yang dinaiki oleh Azfa Hanani sekeluarga sehingga mengakibatkan kematian ibu dan bapa Azfa Hanani. Datin Maziah tidak sampai hati apabila melihat Azfa Hanani yang ketika itu masih bayi menangis kelaparan lalu menyusuinya. Selama 16 tahun, Tengku Datuk Makmur berusaha untuk menjejaki Azfa Hanani. Pencariannya berhasil setelah berbual-bual dengan pak long yang kebetulan berkunjung ke rumahnya sekembalinya daripada menemani anaknya, Zuraini yang mendapatkan rawatan di Indonesia.

Segala-galanya Berakhir
Azfa Hanani kembali tinggal di banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Kali ini dia mahu dikenali dengan identiti sebenar, bukan sebagai Tengku Murni lagi. Tengku Muzaffar pula semakin mendekatkan diri dengan agama. Aktiviti Hari Sumbangsih telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM16,655.00. Syafikah dan Fuziana bersikap baik terhadap Azfa Hanani. Motosikal yang ditunggang oleh Iskandar terlibat dalam kemalangan jalan raya dan Iskandar telah terbunuh. Manakala Laili yang membonceng motosikal tersebut telah cedera parah dan kini di wad ICU. Pasukan yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan Azfa Hanani telah dinobatkankan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Pada suatu hari, Azfa Hanani menaiki teksi ke rumah Ekran. Ketika Azfa Hanani tiba, dia melihat Tengku Muzaffar sedang membantu Ekran menyiapkan sebuah gerai. Akhirnya Azfa Hanani mengetahui kedudukan perkara yang  sebenar iaitu, Tengku Muzaffarlah yang membakar gerai burger Ekran. Sementara itu, Ekran
bukanlah daripada keluarga yang susah. Ayah dan ibunya merupakan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat. Adik-adik perempuannya ikut serta manakala adik lelakinya menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh. Dia selesa tinggal dengan datuk dan neneknya.



PERSOALAN
i. Persoalan ketaatan kepada agama. 
Azfa Hanani sering berdoa dan membaca al  – Quran kepada arwah ibu bapanya .

ii. Persoalan ketabahan seorang gadis remaja menghadapi kehidupan yang penuh ranjau.
Azfa Hanani dibesarkan oleh Pak Long Madi yang kurang berada.Dia juga tabah menghadapi liku – liku hidup di rumah banglo milik keluarga baharunya.

iii. Persoalan keberanian menghadapi risiko. 
Azfa  Hanani, seorang gadis yang baru berumur 17 tahun  tetap berani mengambil risiko menyamar sebagai Tengku Murni untuk membantu sepupunya.

iv. Persoalan kegigihan menimba ilmu pengetahuan. 
Sikap ini ditonjolkan Azfa Hanani, walaupun berasal daripada keluarga miskin dia gigih belajar dengan tujuan untuk membaiki masa depan keluarga dan hidupnya.
  
v. Persoalan sikap mementingkan darjat atau pangkat. 
Tengku Datuk Makmur dan anaknya, Tengku  Muzaffar begitu ego dengan status mereka sebagai golongan elit. Mereka memandang  hina terhadap Azfa Hanani. Rakan-rakan Azfa Hanani juga memandang rendah kepadanya kerana dia berasal dari kampung dan hidup miskin.

vi. Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. 
Datin Maziah terlalu menyayangi Tengku Murni / Azfa Hanani.


PLOT
Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

i. Permulaan
Pada peringkat permulaan cerita, pembaca diperkenalkan dengan watak Azfa Hanani yang berasa takut setelah mengetahui bahawa orang yang selalu mencuri buku-buku rujukan di perpustakaan telah dikenal pasti dan akan dirangkap, Dia kemudiannya dipanggil ke bilik pengetua. Wajahnya  dikatakan seiras Tengku Murni oleh Tengku Mazran dan Kak Syafinaz. Tengku Mazran meminta Azfa Hanani menyamar sebagai Tengku Murni iaitu adiknya yang terbunuh dalam suatu kemalangan jalan raya. Memikirkan masa depan persekolahannya serta peluang untuk membantu sepupunya, Zuraini mendapatkan rawatan, Azfa Hanani bersetuju menerima tawaran Tengku Mazran.

ii. Perkembangan
Pada peringkat perkembangan, Azfa Hanani dibawa ke Hotel Universe dan diajar cara bertutur, makan, dan bergaul dengan Datin Maziah. Di rumah Datin Maziah, Azfa Hanani berjaya memainkan peranan sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani  kemudiannya dihantar ke Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah barunya, Azfa Hanani telah berkenalan dengan Tengku Ellina, sepupu Tengku Murni dan rakan-rakan yang lain seperti Suzana, Adriani dan Ekran. Azfa Hanani turut terlibat dalam pertandingan Forum Remaja sekolahnya.

iii. Konflik
Cerita sampai pada peringkat perumitan apabila Azfa Hanani menerima bungkusan hadiah daripada Ekran ketika majlis sambutan ulang tahun Tengku Murni yang ke-17. Azfa Hanani mencari Ekran untuk mendapatkan penjelasan tentang hubungannya dengan Tengku Murni. Ekran mengaku bahawa hubungannya dengan Tengku Murni memang istimewa tetapi tidak disenangi oleh seseorang iaitu Tengku Muzaffar.

iv. Klimaks
Klimaks cerita ini ialah apabila Azfa Hanani mengetahui bahawa abang Tengku Murni, iaitu Tengku Muzaffarlah yang menjadi penghalang hubungan Ekran dengan Tengku Murni. Pertengkaran antara Azfa Hanani dengan Tengku Muzaffar didengar oleh Datin Maziah. Rahsia penyamaran Azfa Hanani akhirnya terbongkar. Datin Maziah begitu marah kerana telah ditipu selama ini. Azfa Hanani telah ditamparnya lalu diusirnya keluar dari banglo tersebut.

v. Peleraian
Pada pengakhiran cerita, Datuk Tengku Makmur memberitahu bahawa dialah yang menyebabkan teksi yang dinaiki oleh ayah dan ibu Azfa Hanani terjunam ke dalam gaung 16 tahun yang lalu menyebabkan mereka terbunuh. Azfa Hanani kembali ke banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah dengan identitinya sendiri setelah dipujuk. Pasukan Forum Remaja. Sekolah Taman Sari yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan Azfa Hanani terpilih sebagai Pengerusi Forum Remaja Terbaik. Azfa Hanani juga telah mengetahui identiti sebenar Ekran dan berjaya mendapatkan kepastian daripada Ekran tentang
hubungan mereka berdua.

WATAK & PERWATAKAN
Watak Utama
Azfa Hanani
 Gadis cantik dan berwajah lembut serta penyayang.
 Remaja berusia 17 belas tahun yang kematian kedua-dua orang tuanya.
 Dibesarkan oleh Pak Long Madi dan Mak Long Diah dalam serba kekurangan.
 Lemah dalam subjek bahasa Inggeris.
 Baik hati dan sanggup berkorban.
 Tabah mengharungi dugaan hidup.
 Mengenang budi.
 Berjaya menerima anugerah Pengerusi Terbaik Forum Remaja peringkat daerah.
 Sanggup menyamar sebagai Tengku Murni supaya Datin Maziah pulih daripada masalah tekanan perasaan.

Watak dan Perwatakan Watak Sampingan 
Datin Maziah
 Isteri kepada Tengku Datuk Makmur.
 Ibu kepada lima orang cahaya mata, iaitu Tengku Murshadad, Tengku Mizran, Tengku Mazran,Tengku    Muzaffar, dan Tengku Murni.
 Ibu yang penyayang, terutamanya terhadap anak perempuan tunggalnya, Tengku Murni.
 Tertekan sebagai akihat kematian anak bongsunya, Tengku Murni.
 Sering berasa kesunyian setelah Tengku Datuk Makmur bernikah dengan seorang gadis muda.

Tengku Murni
 Anak perempuan tunggal dalam keluarga Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah.
 Wajahnya seiras wajah Azfa Hanani.
 Anak yang taat kepada orang tuanya.
 Dia begitu manja dengan ibunya.
 Sikap mesranya menyebabkan dia disenangi oleh rakan-rakannya.
 Pernah menjalinkan hubungan dengan Ekran, tetapi ditentang oleh abangnya, Tengku Muzaffar.

Tengku Muzaffar
 Anak keempat Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah
 Pelajar Universiti Malaya tahun akhir dalam jurusan undang – undang
 Seorang yang sombong pada awalnya kerana statusnya
 Penyayang kerana mengambil berat akan keselamatan Azfa Hanani

Datuk Tengku Makmur
 Seorang hartawan dan berketurunan bangsawan
 Mempunyai dua orang isteri iaitu Datin Maziah dan seorang wanita muda
 Seorang yang bengis dan sombong kerana bertindak kasar terhadap Azfa Hanani
 Seorang yang berpegang pada janji kerana menerima semula Azfa Hanani setelah mengetahui identiti sebenarnya.

LATAR
Latar Tempat
 Di makmal kimia. Azfa Hanani berasa bimbang setelah mendapat tahu perbuatannya mencuri buku-buku rujukan dari perpustakan telah diketahui dan dia mungkin akan dihukum atas kesalahannya itu.

 Di bilik pengetua, iaitu ketika Azfa Hanani dikunjungi buat pertama kalinya oleh Tengku Mazran, Kak Finaz, dan Kak Rozan.

 Di Hotel Universe. Azfa Hanani telah diberi tunjuk ajar oleh Kak Finaz tentang cara Tengku Murni  makan, bercakap, dan Iain-lain lagi.

 Di banglo milik Datin Maziah dan Tengku Datuk Makmur. Azfa Hanani akhirnya menetap di banglo ini.

 Di Sekolah Menengah Taman Sari. Perjumpaan diadakan oleh pelajar-pelajar tingkatan lima bagi berbincang tentang projek Hari Sumbangsih.

Latar Masa
 Selama beberapa bulan. Semasa Azfa Hanani menuntut di Sekolah Menengah Sri Dian dan kemudiannya meneruskan persekolahannya di Sekolah Menengah Taman Sari selepas berpindah ke rumah Datin Maziah.

 Pada waktu malam. Contohnya, Azfa Hanani dengan  bersungguh-sungguh membaca dan mengkaji diari Tengku Murni dalam  usahanya mendapatkan jawaban siapakah yang menjadi penghalang hubungan antara Ekran dengan Tengku Murni.

 Pada waktu petang. Contohnya. semasa Datin Maziah mengadakan sambutan hari lahir Azfa Hanani / Tengku Murni yang ke-17.

 Pada waktu pagi. Contohnya, Azfa Hanani menjalani kehidupannya sebagai pelajar sekolah.

Latar Masyarakat
 Masyarakat yang sanggup berkorban demi kebahagiaan keluarga angkat serta kelangsungan masa depannya. Contohnya, Azfa Hanani sanggup memenuhi tawaran Abang Mazran bagi membantu sepupunya, Zuraini yang lumpuh mendapatkan rawatan.

 Masyarakat elit yang bongkak dan sombong kerana statusnya. Contohnya, Tengku Datuk Makmur yang memandang hina terhadap Azfa Hanani kerana berasal dari kampung dan miskin.

 Masyarakat pelajar yang gigih  menuntut ilmu. Contohnya, masyarakat pelajar di Sekolah Menengah Sri Dian tempat Azfa Hanani melanjutkan pelajarannya dalam Tingkatan Lima Kenanga.

 Masyarakat yang berpegang pada janji. Contohnya, Tengku Mazran berusaha sedaya upaya membantu sepupu Azfa Hanani mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakit lumpuhnya dengan menghantar Zuraini ke Indonesia.

 Masyarakat yang sanggup menyamar untuk menelamatkan seseorang daripada menghadapi tekanan jiwa. Contohnya, Azfa Hanani sanggup menyamar menjadi Tengku Murni supaya Datin Maziah kembali pulih daripada tekanan perasaan sebagai akibat kematian anak perempuan tunggalnya.
          
TEKNIK PLOT
1. Pemerian : 
Pengarang memerihalkan perasaan Azfa Hanani sewaktu mula-mula  tiba di rumah Datin Maziah.
Contohnya , Begitu, aku terasa seperti berjalan di awang-awangan semasa mulamula tiba di situ.  Banglo itu terlalu besar,berganda  – ganda kalau mahu dibandingkan dengan teratak buruk yang pernah kuhuni.

2. Dialog 
Dialog antara Azfa Hanani dengan Ekran.Contohnya, “Saya nak tanya satu pekara lagi. Abang Mus datang ke mari ni… ada kaitan dengan gerai burger Ran yang terbakar dulu ke ?” “ Saya tak perlu beritahu, sebenarnya. Setakat saya tahu dan Nani juga tahu, cukuplah,” jawab Ekran .

3. Imbas Kembali
Afza Hanani teringat akan pak long, mak long, dan sepupu- sepupunya di kampung. Contohnya  “Masakan mama memang sedap,” Aku menokok bersahaja kerana wajah Zahidin melintas di ruang mata. Dia akan kecur liur kalau sesekali mak long menggoreng ayam.dia akan makan nasi dengan sayur sahaja dahulu agar dapat meratah ayam goreng selepas itu.

4. Suspens
Ketika Syafinaz memberitahu Azfa Hanani bahawa Datin Maziah sudah sedar dan dia mengajak Azfa Hanani turun menemui Datin Maziah. Azfa Hanani berdebar- debar semasa menuruni anak tangga. Pembaca tertanya-tanya tentang apakah reaksi Datin Maziah apabila melihat Azfa Hanani buat kali pertama.

GAYA BAHASA
i. Peribahasa. Contohnya, cempedak menjadi nangka, hidung tinggi, beraja di mata, bersultan
di hati, melukut di tepi gantang, rusa masuk kampong, kais pagi makan pagi kais petang makan petang, serkap jarang, panjang tangan dan ke manalah tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi .

ii. Penggunaan bahasa Inggeris. Contoh,  problem, special boyfriend, We go straight to the point.

iii. Simile. Contohnya,  Mereka  bagaikan  kembar,  dia  seperti  juara semasa perlumbaan motosikal  500 cc dunia, tapak kakiku  seperti melekat di lantai simen dan aku  umpamaperagawati apabila diminta bergaya seperti Murni

iv. Sinkope. Contohnya, ku, ni, tu, tak, nak.

v. Metafora. Contohnya pintu ilmu, batas kemelut

vi. Penggunaan bahasa Arab . Contohnya Insya – Allah , Alhamdulillah


NILAI MURNI
i. Nilai pengorbanan. Contohnya, Azfa Hanani sanggup berkorban dengan menerima tawaran Tengku Mazran untuk menyamar sebagai Tengku Murni demi menjaga kebahagiaan semua pihak termasuklah  keluarga Pak Longnya dan keluarga Datuk Tengku Makmur.

ii. Nilai kegigihan dan tidak mudah berputus asa. Contohnya, walaupun Azfa Hanani berasal daripada keluarga miskin, namun dia tidak menjadikan kemiskinan itu sebagai alasan untuk tidak meneruskan persekolahan. Sebaliknya, dia gigih dan tekun belajar demi masa depannya dan  keluarga pak longnya.

iii. Nilai kasih sayang. Contohnya, Datin Maziah amat menyayangi Tengku Murni/Azfa Hanani. Dia begitu menyayangi anak gadisnya sehingga tidak membenarkan Azfa Hanani menaiki bas ke  sekolah kerana bimbang akan keselamatannya.

iv. Nilai kerajinan. Contohnya, Ekran menjalankan perniagaan burger pada waktu petang dengan tujuan mencari duit poket bagi perbelanjaan hariannya, selain mempraktikkan segala teori yang telah dipelajarinya di sekolah.

v. Nilai kesyukuran. Contohnya, Azfa Hanani bersyukur kerana sepupunya, Zuraini dapat berjalan semula selepas mendapatkan rawatan di Indonesia dengan bantuan keluarga angkatnya.


PENGAJARAN
i. Kita hendaklah berkorban demi kebahagiaan orang lain. Contohnya, Azfa Hanani sanggup menerima tawaran Abang Mazran dan Kak Finaz untuk menyamar sebagai Tengku Murni semata-mata kerana tidak mahu Datin Maziah terus tertekan sehingga mengganggu kesihatannya.

ii. Dalam usaha untuk mencapai kejayaan kita perlu gigih  berusaha dan tidak mudah berputus asa. Contohnya, Azfa Hanani sanggup berulang alik sejauh 30 kilometer semata-mata ingin  melanjutkan pelajarannya dalam aliran sains.

iii. Kita janganlah bersikap sombong atas kekayaan dan pangkat yang ada. Contohnya, Tengku Muzaffar tidak dapat menerima hubungan adiknya, Tengku Murni dengan Ekran kerana menyangka Ekran berasal daripada keluarga yang miskin. Sebaliknya, Tengku Mazran begitu sederhana sifatnya walaupun berasal daripada keluarga elit.

iv. Kita hendaklah bersedia membantu orang yang memerlukan pertolongan. Contohnya,Abang Mazran bersusah payah mendapatkan rawatan bagi Zuraini yang lumpuh, sehingga akhirnya Zuraini dapat berjalan semula.

v. Kita hendaklah sentiasa bersikap sederhana dan merendah diri. Contohnya, Azfa Hanani sentiasa bersederhana dalam segala hal walaupun keluarga angkatnya adalah golongan yang elit dan berada.

vi. Kita hendaklah sedar akan asal usul kita. Contohnya, Azfa Hanani tidak pernah melupakan asal usulnya yang datang dari kampung serta berasal  daripada sebuah keluarga yang  miskin. Dia tidak pernah mengambil kesempatan atas kebaikan Abang Mazran ataupun Datin Maziah.



Thursday, November 11, 2010

NOTA KOMSAS

NOTA KOMSAS ‘ANTOLOGI HARGA REMAJA’
PUISI TRADISIONAL – PANTUN EMPAT KERAT
Maksud Pantun
Rangkap 1 – Rangkap ini bermaksud secara tidak langsung orang yang berbudi hendaklah dikenang.                   

Rangkap 2 – Rangkap ini membawa maksud orang yang berbudi pasti akan disebut-sebut walaupun dia telah meninggal dunia.
Rangkap 3 – Rangkap ini mengatakan bahawa jasa dan budi yang ditaburkan akan dikenang biarpun budi itu kecil namun tetap dihargai.
Rangkap 4 - Rangkap ini menyatakan bahawa seseorang yang mengasihi yang lain apabila kasihnya diterima hubungan tersebut akan berterusan untuk jangka masa yang panjang.          

TEMA -  bertemakan budi baik yang akan diingati oleh orang.
PERSOALAN
a)      Ketinggian nilai budi : budi yang baik akan sentiasa disanjung
b)      Sikap mengenang budi : budi akan sentiasa diingati oleh orang lain
c)      Budi tidakkan hilang : budi tidakkan luput walaupun seseorang itu telah meninggal dunia
d)      Budi akan membuatkan hubungan berpanjangan : hubungan seseorang akan menjadi lebih akrab.
BENTUK PANTUN
a)      Mempunyai empat rangkap
b)      Mempunyai empat baris serangkap
c)      Mempunyai 3-5 patah perkataan sebaris
d)      Mempunyai 9-11 suku kata sebaris
e)      Rima akhir abab
GAYA BAHASA
a)      Penggunaan sinkof : Jika tak kenang kepada saya
b)      Penggunaan simile : Sebagai hutang seribu tahun
c)      Asonansi : Anak ikan berlima-lima
d)      Aliterasi : Anak kambing memakan rumput
e)      Diksi yang menarik : Terang di paya, punggur berdaun

NILAI
a)      Mengenang budi
b)      Keikhlasan
c)      Kasih sayang

PENGAJARAN
a)      Kita hendaklah sentiasa mengingati budi yang ditaburkan kepada kita.
b)      Kita hendaklah ikhlas dalam memberikan pertolongan dan berbudi.
c)      Janganlah kita menjadi orang yang tidak mengenang budi.
d)      Kita hendaklah memupuk kasih sayang melalui budi yang ditaburkan.